Masiung santuni warga Tongod di perantauan

KUALA LUMPUR: Warga Tongod berada di Semenanjung Malaysia diingatkan agar sentiasa menjaga imej diri, keluarga serta tanahair ketika berada di sana.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, sambil memuji sifat Anak Sabah mewakili daerah Tongod sentiasa mengutamakan kerja hakiki bagi menyara kehidupan keluarga mereka di kampung halaman.

Masiung Banah

Katanya, meskipun ada dalam kalangan mereka tidak dapat menyambut perayaan Hari Natal bersama keluarga namun sentiasa berhubung bertanya khabar dengan ahli keluarga di Sabah.

“Kita yakin mereka yang ada diperantauan ini adalah terdiri daripada mereka yang mempunyai semangat jati diri yang kental serta sentiasa berdisiplin mengutamakan menjaga imej keluarga mereka.

“Jika ada kesempatan bolehlah pulang ke tanahair untuk bertemu dengan kaum keluarga selepas sekian lama tidak berkesempatan dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hampir dua tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meluangkan masa bersama beberapa warga Tongod di sini semalam.

Hadir sama dalam perjumpaan tersebut isterinya, Datin Grace Elvira Ebin.

Masiung yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar Sabah LPPB berkata, beliau juga merancang untuk mengadakan perjumpaan bersama warga Tongod di beberapa tempat di semenanjung Malaysia bagi mengenalpasti keadaan kehidupan mereka di sana.

“Meskipun jarang berjumpa namun sudah pasti saya akan sentiasa mengikuti perkembangan warga kita di sini. Jika ada perlukan bantuan ketika musim banjir dan PKP kita akan salurkan bantuan kepada mereka,” katanya.

Mengikut jadual Masiung dijangka akan merasmikan program Bola Sepak Persahabatan melibatkan warga Tongod.

“Berikutan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan disamping di beberapa kawasan dilanda banjir  program tersebut kita sudah ditangguhkan buat sementara waktu,” katanya.