Manifesto BN RPS1 ‘tawaran strategik’ untuk Sabah, kata Lokman

KUALA PENYU: Pelancaran Rancangan Pembangunan Sabah Satu (RPS1) oleh Barisan Nasional (BN) hari ini disifatkan sebagai tawaran pembangunan yang “strategik dan menyeluruh” untuk rakyat negeri itu, kata bekas AJK BN Beaufort, Lokman Sunggim.

Beliau berkata enam teras utama dalam manifesto berkenaan mampu memberikan manfaat nyata kepada rakyat, termasuk agenda ekonomi, kesejahteraan sosial, pendidikan dan pembabitan anak muda.

Bendahari Umno Sabah, Salleh Said Keruak, ketika mengulas manifesto itu berkata RPS1 turut menekankan transformasi politik dan tadbir urus, kelestarian alam dan pembentukan masyarakat yang sihat serta berkebajikan.

Antara inti pati utama RPS1 ialah penubuhan Dana Kemakmuran Sabah, pembinaan Rumah Sabahku, lapangan antarabangsa baharu, skim belian makanan tunai, dasar 30 peratus pembuat keputusan anak Sabah, serta skim sifar deposit pembelian rumah untuk belia. Turut diumumkan ialah Dana Belia Negara dan bantuan intensif RM2,000–RM2,500 untuk anak Sabah melanjutkan pengajian ke universiti awam atau swasta.

Salleh turut mengetengahkan cadangan menubuhkan Majlis Petroleum Sabah bagi memelihara kepentingan negeri serta memastikan sekurang-kurangnya 50% pekerja sektor minyak dan gas terdiri daripada anak Sabah. BN juga mencadang meneroka tenaga boleh diperbaharui termasuk pembinaan loji tenaga biojisim di pedalaman.

Dalam ceramah di PDM Tempurong, DUN Kuala Penyu, Lokman mengajak pengundi memberi mandat baharu kepada calon BN Awang Aslee Lakat pada PRN Sabah 29 November ini. Katanya, latar belakang pendidikan serta pengalaman Awang Aslee bersama masyarakat menjadikannya calon yang “lebih memahami denyut nadi rakyat”.

“Beliau sudah lama turun padang, tahu masalah rakyat dan lebih bersedia menanganinya,” kata Lokman sambil menyeru semua kaum di kawasan itu bersatu memberikan kemenangan kepada BN.