TAWAU: Tiga beradik masih belum ditemui dalam tragedi bot karam di perairan Kampung Batu Payung, di sini petang semalam.
Menurut laporan Utusan Borneo, Mangsa, Saiful Muhaimin,14, serta dua adiknya Adam, 13, dan Saina,12, gagal diselamatkan selepas bot yang dinaiki sembilan individu karam dipercayai dipukul ombak.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Julius John Stephen Jr berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.45 petang.
“Susulan itu, seramai lima anggota dan sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Sebaik tiba, pasukan bomba menjalankan operasi bersama 17 bot orang kampung, sebuah bot Pasukan Polis Marin (PPM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM),” katanya.
Menurut maklumat, katanya, semua mangsa dari Kampung Batu Payung menuju balik ke Kampung Rawa-Rawa Batu 4 Jalan Apas sebelum bot yang mereka naiki dipukul ombak dan karam.
“Bagaimanapun, enam daripada mangsa berjaya diselamatkan oleh orang kampung, manakala tiga lagi kanak-kanak berkenaan gagal ditemui,” katanya.
Katanya, operasi SAR ditangguhkan pada jam 6.40 petang dan akan disambung pada hari ini dengan meluaskan kawasan pencarian.
“Maklumat terkini akan diberikan dari semasa ke semasa sekiranya ada perkembangan terbaharu kes bot karam tersebut,” katanya.