KOTA KINABALU: Ketua Wira Warisan Sepanggar, Jumardie Lukman perlu menunjukkan kejujurannya sama ada terus kekal bersama WARISAN atau menjalin kerjasama menubuhkan parti baharu bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Peter Anthony.
Timbalannya, Junior Julius berkata, Jumardie perlu membuat pengumuman rasmi bagi menjelaskan status kedudukkan secara ‘Gentlemen’ kepada Wira Sepanggar berkaitan keputusan dalam tempoh terdekat.
Katanya, sekiranya beliau (Jumardie) masih bersama WARISAN dipohon agar terus berkerjasama serta memperkukuhkan jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU15) sekali gus memperkasakan Wira di bahagian Sepanggar.
“Jika beliau (Jumardie) memilih untuk bersama Peter Anthony. Kita ucapkan selamat maju jaya…kita perlu yakin ini adalah atas semangat demokrasi yang diamalkan di negara ini.
“Kita Wira WARISAN Sepanggar akan terus bekerja untuk memperkasakan golongan belia di peringkat akar umbi. Wira WARISAN Sepanggar masih kukuh bersama pemimpin sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media hari ini.
Junior berkata, sekiranya Jumardie memilih menyertai parti baharu Peter Anthony perkara yang harus dilakukannya adalah membuat pengumuman rasmi berkaitan kedudukannya.
“Langkah ini penting bagi tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan Wira WARISAN Sepanggar sekali gus agar semua pihak mengetahui status kedudukannya,” katanya.
Semalam Bekas Naib Presiden Warisan, Datuk Peter Anthony kekal dengan pendiriannya untuk meneruskan hasratnya menubuhkan parti baharu.
Katanya, beliau menghargai jemputan Presiden STAR, Jeffrey Kitingan yang mempelawanya dengan seorang lagi wakil rakyat yang sudah keluar Warisan, Datuk Juil Nuatim untuk menyertai parti berkenaan.