PUTRAJAYA: Pengarah tersohor, Mamat Khalid, 58, yang meninggal dunia akibat masalah jantung malam tadi, disifatkan seorang wira yang turut memperjuangkan agenda perpaduan melalui karya filem serta menjadi tontonan pelbagai kaum dan peringkat usia.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Sadique, berkata pengarah tersohor ini telah meninggalkan legasi indah dengan menghantar pelbagai mesej perpaduan kaum di dalam karya besarnya.
Allahyarham adalah insan seni yang hebat apabila turut membantu memberikan sumbangan tidak ternilai kepada negara melalui karya seninya dan patut dicontohi.
“Karya seni adalah suatu medium yang dapat dijadikan sebagai platform penyatuan bangsa dan kaum di negara ini,” katanya melalui satu kenyataan media dilaporkan Berita Harian hari ini.
Berita pemergian Mamat Khalid atau nama sebenarnya, Mohamad Mohamad Khalid, 58, yang terkenal dengan filem arahannya seperti “Zombi Kampung Pisang” dan “Hantu Kak Limah’, dimaklumkan isterinya, Hasmah Hasan.
Katanya, arwah dipercayai mendapat serangan jantung telah rebah di kafenya di Sarang Art Hub, Tanjung Malim sebelum dibawa ke Hospital Slim River dan disahkan meninggal dunia.
Halimah berkata, beliau melihat Mamat ada persamaan dengan Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang meninggalkan legasi seni sehingga berdekad-dekad lamanya kepada seluruh masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
Katanya, keindahan sebuah karya seorang pengarah filem adalah apabila ia menjadi tontonan masyarakat pelbagai kaum, selain turut menghantar mesej positif yang diterima sehingga melangkaui zaman.
“Mamat bukan sahaja menghasilkan karya seni yang bersifat humor, malah mengajak seluruh masyarakat supaya saling hormat menghormati, berkasih sayang, tolong menolong dan bertoleransi sesama masyarakat,” katanya.