Majikan perlu jelaskan RM281.990 tuntutan 14 pengawal keselamatan di Hospital Beaufort

KOTA KINABALU: Sejumlah RM281,989.72  tuntutan dalam 2 kes di Mahkamah Buruh, Beaufort membabitkan 14 pengawal keselamatan bertugas di Hospital Daerah Beaufort selepas penyelarasan gaji minimum serta kerja lebih masa tidak dijelaskan sejak Mei tahun lalu,

Jurucakap pekerja terbabit Mohd Jabidi Junaidi berkata, jumlah tersebut membabitkan  RM140,256.62 dalam kes pertama melibatkan 7 orang pengawal keselamatan sebagai pengadu. 

Manakala RM141,733.10 dalam kes ke dua melibatkan 7 orang pengawal keselamatan sebagai pengadu. Jumlah adalah merupakan tuntutan penyelarasan gaji minimum dan bayaran kerja lebih masa.

Katanya, ketika ini seorang peguam sudah dilantik bagi mewakili 14 pengawal keselamatan bagi mengendalikan kes ini di peringkat Mahkamah Buruh, Jabatan Tenaga Kerja, Beaufort dan di peringkat Mahkamah Perusahaan. 

Mahkamah Buruh pada 14 Ogos 2023 telah membuat keputusan dalam 2 kes yang membenarkan tuntutan 14 pengawal keselamatan dan memerintah majikan membayar jumlah yang dinyatakan.

“Kita percaya pihak majikan sudah maklum berkaitan tuntutan penyelarasan kadar gaji minimum bermula Mei 2022 serta bayaran kerja lebih sejak tahun lalu.

“Saya bersama 14 rakan sekerja juga telah mengemukakan tuntutan kepada Jabatan Tenaga Buruh (JTK) pada bulan Mac 2023. Kami terus bekerja bersama syarikat tanpa protes, tidak mengabaikan apa-apa hak untuk menuntut pemecatan terancang sementara menunggu keputusan Mahkamah Buruh,” katanya kepada Sabah News Today di sini hari ini.

Mohd Jabidi berkata, sejak isnin lalu 14 pengawal keselamatan telah membuat keputusan meletakkan jawatan serta merta apabila pihak Syarikat sebagai majikan tidak menunjukan apa-apa komitmen untuk patuh kepada Perintah Mahkamah Buruh, Beaufort. 

“Kita sudah berbincang dengan pihak Syarikat bersama peguam dilantik bagi menyelesaikan tuntutan dan dapat diambil tindakan sekali gus perkara ini dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat. Tapi apa yang berlaku selepas perbincangan, kami 14 orang pada masa yang sama telah menerima surat pemindahan lokasi bertugas bertarikh 18 Ogos 2023 mengarahkan kami bertugas di Zon Pasir Mas Kelantan berkuatkuasa 1 September 2023. 

“Kita menyerahkan kepada pihak peguam serta Mahkamah Buruh untuk menentukan tindakan kepada majikan yang gagal menjelaskan tuntutan 14 pekerja pengawal keselamatan ini,” katanya.