TUARAN : UMNO Tuaran menegaskan bahawa pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kini berada pada fasa paling kritikal iaitu fasa implementasi, dan memerlukan hubungan erat antara kerajaan negeri dengan kerajaan pusat bagi memastikan proses berjalan lancar.
Ketua UMNO Bahagian Tuaran, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, semangat dan perbincangan mengenai MA63 tidak lagi menjadi isu kerana ia sudah diiktiraf serta difahami oleh semua parti politik, sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang.
“Formula dan pengiktirafan terhadap MA63 sudah ada. Cabaran kita sekarang ialah memastikan pelaksanaan berjalan lancar tanpa terganggu emosi politik pilihan raya. Hubungan baik antara kerajaan negeri dan pusat akan memudahkan proses ini,” katanya.
Beliau memberi amaran bahawa tanpa kerjasama tersebut, Sabah berisiko berdepan masalah implementasi seperti yang berlaku sebelum ini.
Justeru, beliau berpendapat gabungan parti tempatan dan parti nasional adalah langkah terbaik bagi memastikan pelaksanaan MA63 tidak terganggu.
“Isu kompromi dengan parti nasional tidak timbul kerana MA63 kini menjadi agenda nasional. Fasa ini memerlukan kerjasama yang matang, bukan tunduk membuta tuli kepada kerajaan pusat,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, beliau menegaskan bahawa kerusi Pantai Dalit akan kekal ditandingi UMNO Tuaran, sama ada berlaku gabungan politik atau sebaliknya.
“Pantai Dalit adalah kerusi UMNO Sabah. Kita akan pertahankannya demi memastikan hubungan dengan akar umbi di Tuaran tidak terputus,” katanya.
Beliau turut menggesa semua parti politik di Sabah untuk mengutamakan masa depan rakyat dan negeri, dengan mengingatkan bahawa semangat MA63 kini sudah terbuka dan tidak mungkin dipadamkan lagi.
