LPP laksana dua projek mini estet padi untuk bantu tingkatkan pengeluaran padi di Sabah

KOTA KINABALU: Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) sedang melaksanakan dua mini estet padi di dua kawasan dalam usaha meningkatkan pengeluaran hasil padi dan pendapatan pesawah di negeri ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) LPP, Amir Matamin, berkata mini estet seluas 150 hektar itu dilaksanakan di Terusan Sapi, Beluran dan Kampung Kabatasan, Pitas.

Katanya, projek berkenaan dilaksanakan menerusi peruntukan pada 2021 dan 2022 bagi meningkatkan pengeluaran padi dan membantu pesawah di kawasan terbabit melaksanakan penanaman padi secara tersusun.

“Di Sabah, melalui peruntukan pada 2021 dan 2022, kita ada mini estet padi di Terusan Sapi, Beluran dan Kampung Kabatasan, Pitas dengan keluasan 150 hektar.

“Kedua-duanya masih dilaksanakan dan kita memantau perkembangannya. Mudah-mudahan dengan peruntukan ini akan berlaku peningkatan hasil padi dan pendapatan petani,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Taklimat Peranan Ahli Jemaah Pengarah (AJP) dan Ahli Pertubuhan Peladang (PP) Dalam Projek-Projek, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah, Datuk Mohd Nazri Abdullah.

Amir berkata, selain mini estet padi, LPP turut terlibat dalam pelaksanaan Projek Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) yang menekankan pengurusan penanaman padi secara tersusun.

Pada masa yang sama, katanya LPP turut terbabit dalam penyediaan kemudahan jentera dan mekanisasi bagi membantu pesawah dari segi penggunaan jentera untuk penghasilan yang lebih besar.

Katanya, bagi tahun ini LPP Sabah menerima 23 jentuai dan traktor baharu untuk meningkatkan lagi penanaman padi di negeri ini.

“Sebab itu dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kita memang fokus untuk mekanisasi dan automasi untuk membantu peladang dari segi kemudahan jentera,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua program LPP itu iaitu penyediaan jentera dan projek penanaman padi bertujuan untuk melonjakkan pengeluaran hasil padi.

“Bagaimanapun di Sabah, kita masih berdepan dengan masalah saliran. Tapi secara umumnya, melalui dua proram ini kita akan cuba meningkatkan hasil padi di negeri ini,” kata Amir.