SEMPORNA : Lori treler dipandu ‘Makan Jalan’ sehingga masuk ke laluan bertentangan menjadi punca dua pelancong asing menaiki bas pelancong maut dalam kemalangan di Kilometer 21 Jalan Semporna-Tawau dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Semporna, Supt Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, dua penumpang tersebut dikenalpasti warga Singapura dan Vietnam meninggal dunia di tempat kejadian manakala empat penumpang lagi merupakan warga Singapura mengalami cedera parah kemudianya di hantar ke Hospital Tawau untuk menerima rawatan lanjut.
Katanya, akibat pelanggaran tersebut serpihan kemalangan terbang ke cermin hadapan lori box yang berada di belakang lori treler mengakibatkan cermin hadapan lori tersebut pecah.
“Bagaimanapun pemandu lori box tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kemalangan yang berlaku pada jam 3.30 petang semalam.
“Manakala pemandu lori treler warga tempatan berumur 29 tahun telah ditahan untuk membantu siasatan mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Farhan berkata, jika sabit kesalahan pemandu treler juga boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak melebih daripada RM5,000 jika disabitkan kesalahan.
Menurutnya sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian kemalangan tersebut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna, Insp Hemkkumar A/L Ayathuray ditalian 012-3650021, 089-782020 atau mana-mana Balai Polis berhampiran bagi membantu siasatan.