KOTA KINABALU: Bagi memastikan nelayan di Pulau Jambongan Beluran tidak tercicir daripada mendapat bantuan disediakan kerajaan.
Satu program pendaftaran e-Nelayan untuk Subsidi Minyak dan Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) dilaksanakan selama dua hari bermula pada Rabu lalu di Paitan.
Pendaftaran dilaksanakan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sabah, salah sebuah agensi dibawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).
Program tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Parlimen Beluran di Pentas Rakyat Pejabat Daerah Kecil Paitan.
Pengarah LKIM Negeri Sabah, Sundralingam a/l Nagaiah, objektif program ini adalah untuk memudahkan urusan pendaftaran bantuan Subsidi Minyak dan Elaun Sara Hidup Nelayan di Pulau Jambongan yang tidak dapat turun ke pejabat Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Beluran.
Katanya, program pendaftaran tersebut tidak dapat dilaksanakan di Pulau Jambongan berikutan ketiadaan jaringan internet di pulau berkenaan.
“Pada program ini, seramai 77 nelayan di Pulau Jambongan hadir untuk mendaftar Subsidi Minyak dan Elaun Sara Hidup Nelayan.
“Daripada jumlah tersebut, seramai 75 nelayan berjaya didaftarkan untuk mendapat subsidi minyak dan seramai 60 nelayan berjaya didaftarkan untuk menerima elaun sara hidup RM300 sebulan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, untuk keseluruhan nelayan di kawasan Beluran yang sudah layak menerima subsidi minyak adalah 410 orang dan seramai 603 orang layak menerima bantuan elaun sara hidup.
Dalam pada itu, Sundraligam menyarankan agar nelayan di negeri ini untuk mendapatkan lesen bot dan lesen perikanan agar mudah didaftarkan untuk menerima bantuan kerajaan.
Pada hari pertama pelaksanaan program itu Rabu lepas, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Samad Jambri turut hadir bagi meninjau pelaksanaan aktiviti tersebut bagi mewakili Menteri MAFI yang juga Ahli Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.