PAITAN: Lima lelaki ditahan kerana memburu melebihi kouta yang ditetapkan dalam lesen memburu dalam satu sekatan jalan raya di Jalan Paitan, hari ini.
Sekatan jalan raya itu dijalankan oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah dan SFD PROTECT Jabatan Perhutanan Sabah dalam satu operasi bersepadu.
Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga berkata pasukan penguatkuasaan menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda dan hasil pemeriksaan mendapati dua bangkai haiwan disyaki rusa ditemui di tempat penyimpanan barang belakang kenderaan tersebut.
Katanya lima lelaki berumur antara 50 sehingga 55 tahun yang berada dalam kenderaan tersebut telah ditahan bagi membantu siasatan.
Antara barang yang dirampas adalah dua bangkai haiwan dilindungi yang disyaki rusa serta peralatan pemburuan lain yang ditemui dalam kenderaan tersebut, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata kes akan disiasat oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah di bawah Seksyen 25 Sub-seksyen 2 (b) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997, memburu melebihi kuota yang dinyatakan dalam lesen memburu.
Jika didapati bersalah, orang yang dituduh boleh menerima hukuman denda RM50,000 hingga RM100,000 atau penjara tidak kurang enam bulan atau tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Sehubungan dengan kes ini, Augustine menasihatkan orang awam supaya tidak menjalankan aktiviti pemburuan tanpa lesen memburu yang sah yang dikeluarkan oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah.
Katanya bagi pemburu berlesen, mereka perlu patuh terhadap syarat-syarat yang dinyatakan dalam lesen seperti tempoh sah memburu, kawasan pemburuan dan bilangan haiwan yang hendak diburu.