Libas parang pada rakan, lelaki tempatan ditahan

TAWAU : Polis menahan seorang lelaki tempatan dipercayai melibas rakannya menggunakan parang dalam kejadian di kawasan perumahan pekerja ladang di Merotai Besar, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, mangsa dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian lengan tangan kiri.

Katanya, suspek berjaya ditahan di lokasi berhampiran kira-kira jam 12.15 tengahari tadi manakala sebilah parang digunakannya turut dirampas.

“Kejadian berlaku ini pada 10 Januari lalu sekitar jam 7.00 petang, mangsa seorang lelaki berusia lingkungan 30-an, sedang berbincang dengan suspek akibat isu peribadi.

“Perbincangan kemudiannya berlarutan menjadi tegang sehingga suspek bertindak agresif mengambil sebilah parang dari rumahnya lalu melibas ke arah mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jasmin berkata, semakan rekod lampau mendapati, suspek warga tempatan berusia 47 tahun ini memiliki satu rekod jenayah di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

“Suspek kini ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dengan senjata berbahaya.

“Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali,” kata Jasmin.