TAWAU: Polis menahan seorang lelaki warga asing selepas bertindak agresif dengan membawa kayu sambil mengugut mahu menetak ahli keluarganya sendiri dalam kejadian di Kinabutan Batu 5, Jalan Apas,di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek berusia lingkungan 40-an merupakan sepupu kepada isteri mangsa didakwa tiba-tiba naik angin tanpa sebab jelas, mengancam mahu mengambil parang untuk mencederakan penghuni rumah tersebut.
Katany, pihak menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 12.56 tengah malam sebelum anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bergegas ke lokasi.
“Suspek berjaya diberkas bersama sebatang kayu yang digunakan untuk mengugut mangsa.
“Kayu berukuran kira-kira tiga sentimeter lebar dan 70 sentimeter panjang itu turut dirampas sebagai barang bukti,” katanya.
Menurut beliau, semakan lanjut mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di negara ini tanpa dokumen sah.
