TAWAU : Polis menahan seorang suspek lelaki tempatan serta merampas dadah jenis syabu di sekitar kawasan Kampung Titingan, di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek berumur 27 tahun itu ditahan sepasukan anggota dalam tugas Ronda Cegah Jenayah (RCJ), Pondok Polis Kawasan (PPK) Titingan ketika menjalankan tugas rondaan di sekitar kawasan berkenaan.
Katanya, semasa rondaan melihat suspek berada dalam keadaan mencurigakan serta menahan dan membuat pemeriksaan terhadap lelaki terbabit.
“Ketika pemeriksaan hendak dilakukan, suspek bertindak agresif dan cuba melarikan diri, pihak polis terpaksa menggunakan kekerasan yang minima bagi memastikan berjaya ditahan,” katanya dalam kenyataan media di sini semalam.
Jasmin berkata, hasil pemeriksaan tubuh badan suspek menjumpai satu peket hablur jernih di syaki dadah jenis syabu dengan berat anggaran berat 0.12 gram diserahkan sendiri oleh suspek.
“Hasil pemeriksaan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu dan kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Polis Daerah Tawau sedang mempergiatkan dalam usaha membanteras kegiatan jenayah dan dadah dari masa ke masa dengan operasi yang lebih agresif,” jelas Jasmin.
Menurutnya, beliau menggesa agar masyarakat dapat menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dadah kalangan ahli keluarga, jiran serta warga sekampung disyaki terlibat dalam aktiviti menyalahi undang-undang di talian hotline 089-772121 atau melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP).
