TAWAU : Seorang lelaki ditahan selepas didapati memiliki sejumlah besar serbuk daun serta air ketum dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Pukat, Tanjung Batu Laut, Tawau, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Supt Champin Piuh berkata, pihaknya berjaya menahan suspek di ruang tamu rumahnya kira-kira jam 11.20 pagi selepas mendapati kelakuannya mencurigakan.
Katanya, suspek kemudiannya bertindak agresif ketika ditahan namun berjaya dikawal oleh anggota serbuan.
“Hasil pemeriksaan lanjut di rumah tersebut, membawa kepada penemuan satu karung guni berisi tujuh paket plastik lutsinar mengandungi serbuk kering disyaki daun ketum seberat 7,163.62 gram.
“Bahan tersebut disimpan di dalam sebuah bilik serta sebuah tong oren dipercayai mengandungi 30 botol air ketum berkapasiti 1.5 liter setiap satu di bahagian dapur rumah tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Champin berkata, kesemua barangan rampasan bagi tujuan pasaran tempatan itu dianggarkan bernilai RM3,000.
“Hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek warga tempatan berusia 30-an negatif dadah dan tiada rekod jenayah lampau.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan suspek direman bermula hari ini untuk siasatan lanjut,” jelas Champin.
Menurutnya, pihaknya akan menjalankan siasatan dan risikan bagi mengenal pasti rangkaian pengedaran ketum yang terlibat.
“Kita akan ambil tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang berkaitan bahan terlarang ini,” kata Champin.