Lelaki tempatan ditahan curi barangan kemas anak saudara

TAWAU : Seorang lelaki ditahan kurang 24 jam selepas dipercayai mencuri barangan kemas anak saudaranya yang tinggal serumah membabitkan kerugiqn RM30,000 di Taman Kuhara Jaya, Tawau di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, wanita berusia 34 tahun itu hanya menyedari dua bentuk cincin berlian dan dua bentuk cincin emas yang simpan di bilik mangsa hilang dipercayai dicuri kira-kira jam 9.00 pagi, nilai anggaran kerugian berjumlah RM30,000.

Katanya, laporan polis dibuat oleh mangsa di Balai Polis Tawau kira-kira jam 11.03 pagi di sini semalam.

“Bertindak atas maklumat sepasukan Polis Dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau telah memberkas seorang suspek lelaki tempatan berumur 55 tahun merupakan bapa saudara mangsa sendiri.

“Polis merampas semula barang kemas milik mangsa iaitu dua bentuk cincin berlian dan sebentuk cincin emas kira-kira jam 1.20 petang tadi di rumah yang sama,” katanya dalam kenyataan media di sini semalam.

Jasmin berkata, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan dan kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

“Hasil semakan rekod jenayah lampau suspek mendapati terdapat empat rekod jenayah termasuk di Selangor dan Tawau, Sabah berkaitan dadah,” jelas Jasmin.