Lelaki tempatan ditahan bersama syabu dalam Op Tapis khas

TAWAU: Polis menahan seorang lelaki tempatan ditahan bersama sejumlah dadah jenis syabu di kawasan tempat pembuangan sampah, Bukit Gemok Tawau dalam OP Tapis Khas, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek ditahan sepasukan Polis selepas dilihat berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan tersebut selepas cuba melarikan diri daripada pemeriksaan.

“Semasa pihak Polis memperkenalkan diri, suspek bertindak agresif cuba melarikan diri dan berlaku pergelutan semasa tangkapan dilaksanakan dan akhirnya berjaya diberkas”, katanya dalam kenyataan hari ini.

Jasmin berkata, penerima ke atas tubuh badan, suspek menyerahkan sebuah beg yang dipegang dengan menggunakan tangan kanannya.

“Pemeriksaan lanjut terhadap beg berkenaan polis berjaya menemui lapan paket plastik lutsinar pelbagai saiz berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 7.58 gram,” katanya.

Katanya, suspek bersama barang rampasan dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) untuk tindakan lanjut dan kes disiasat dibawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana positif dadah.

Dalam operasi yang dijalankan itu, sepasukan anggota dari Balai Polis Bombalai diketuai Ketua Polis Balai (KPB) dan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Tawau, berjaya menahan 14 individu dipercayai penagih berusia antara 23 hingga 62 tahun.

Jelasnya, operasi yang dijalankan daripada 6 serbuan dan pemeriksaan di beberapa kawasan ‘hotspot’, perkampungan, kawasan pembuangan sampah dan tempat yang digunakan untuk aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

Selain itu, seramai 17 orang awam dan 3 buah motosikal telah diperiksa dalam OP Tapis Khas tersebut.

“Kejayaan ini adalah salah satu usaha Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau khususnya Balai Polis Bombalai dalam mengatasi masalah penyalahgunaan dadah di daerah ini dalam meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap PDRM Tawau,” katanya.

ACP Jasmin mengulas, masyarakat di daerah ini perlu bekerjasama dalam menangani jenayah dan dadah serta berharap kerjasama ini dapat dijadikan sebagai sebuah daerah yang aman dan sejahtera.