KOTA KINABALU : Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya jenis Toyota Crown Athlete terbabas sendiri kemudiannya melanggar tiang konkrit jejantas di sini awal pagi tadi.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata, mangsa berumur 40 tahun dipercayai tersepit berjaya dikeluarkan pasukan bomba sekali gus disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Katanya, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan selanjutnya.
“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan kira-kira 12.58 tengah malam tadi berkaitan kejadian kemalangan di Jalan Tunku Abdul Rahman, Kota Kinabalu.
“Jentera Sampai pada jam 1.02 pagi pada jarak ke tempat kejadian sekitar tiga kilometer bersama 10 anggota dari Balai Bomba Kota Kinabalu diketuai Komander Operasi Welson Juanis,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut kenyataan tersebut, selepas memastikan tiada lagi bahaya yang wujud di tempat kejadian, operasi kemudiannya ditamatkan pada jam 2.30 pagi tadi.