TAWAU : Dua lelaki bersama seorang wanita ditahan dipercayai terlibat mencederakan teman lelakinya dalam kejadian di sekitar kawasan Kampung Merotai Besar, Tawau, di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, polis menahan suspek masing-masing berumur antara 25 hingga 64 tahun serta pedang semurai dan sterika yang digunakan untuk mencederakan mangsa.
Katanya, sebelum kejadian pada selasa lalu mangsa menerima pesanan WhatsApp daripada teman wanitanya memaklumkan teman wanitanya sedang mengandung.
“Mangsa sekali lagi menerima pesanan ringkas keesokkan harinya memaklumkan mangsa untuk datang ke rumahnya.
“Apabila tiba di rumah suspek jam 3.00 petang kemudian, mangsa diarah masuk ke dalam bilik serta mendakwa dia dikurung oleh bapa teman wanitanya,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Jasmin berkata, situasi bertambah tegang apabila mangsa didakwa dipukul menggunakan kepala tali pinggang serta ditumbuk di bahagian kepala oleh abang teman wanitanya sekali gus diancam dengan sebilah pedang samurai.
“Teman wanitanya didakwa turut mencederakan mangsa dengan menggunakan alat sterika panas menyebabkan lengan sebelah kiri mangsa melecur.
“Mangsa berjaya melarikan diri dengan memecahkan tingkap bilik terbabit sekali gus berlari ke jalan utama untuk mendapatkan bantuan orang awam,” jelas Jasmin.
Menurutnya, selepas menerima maklumat Polis Bombalai kedua-dua suspek manakala seorang suspek wanita berjaya ditahan apabila cuba melarikan diri.
“Polis menjalankan siasatan bagi mengesahkan dakwaan tersebut. Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi sehingga siasatan selesai dijalankan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 324 dan 506 Kanun Keseksaan kerana mencederakan dengan sengaja dan membuat ugutan jenayah,” kata Jasmin.
