Latheefa Koya pertahan Albert Tei: Apa kepentingan sebenar – Fairuz

KOTA KINABALU: Kenyataan Latheefa Koya dilihat sangar mempertahankan Datuk Albert Tei dilihat menimbulkan persoalan besar mengenai motif beliau sebenarnya.

Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Fairuz Renddan berkata, beliau ingin bertanya adakah mempertikaikan sama ada Latheefa Koya masih berpegang kepada prinsip hak asasi manusia atau kini lebih cenderung membela taikun kontroversi.

Katanya, Albert Tei bukan sekadar ahli perniagaan biasa, sebaliknya pernah dikaitkan dengan eksploitasi pekerja asing, pemerdagangan manusia, dan ugutan terhadap wartawan.

“Laporan penyiasatan oleh Tempo dan Malaysiakini pada 2017 mendedahkan bahawa Albert Tei memiliki lapan agensi pengambilan pekerja asing secara haram serta memperdaya ribuan rakyat Indonesia.

“Albert banyak menabur janji gaji yang lumayan, namun akhirnya pekerja tersebut dipaksa bekerja dalam keadaan tidak berperikemanusiaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Fariuz merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan berkata, lebih membimbangkan, wartawan yang cuba membongkar skandal Albert Tei turut menerima ancaman, termasuk tekanan untuk tidak menyiarkan laporan mereka.

“Persoalannya, bagaimana individu yang pernah dikaitkan dengan kes pemerdagangan manusia boleh terlepas daripada hukuman?,

“Pada 1 Julai 2019, Mahkamah Sesyen Semenyih memberikan Albert Tei pelepasan tanpa pembebasan (DNAA), dan sehingga kini, tiada penjelasan kukuh mengapa keputusan itu dibuat.

“Tindakan Latheefa Koya mempertahankan Albert Tei menimbulkan tanda tanya besar,” jelas Fairuz.

Menurutntam jika benar beliau pejuang hak asasi, mengapa tidak mendesak siasatan lanjut terhadap bagaimana DNAA itu diperoleh?

“Di Sabah, Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor telah mengambil langkah tegas dengan menolak 21 permohonan lesen mencarigali (Prospecting Licence – PL) yang dikaitkan dengan kartel Albert Tei.

“Ini adalah bukti jelas bahawa Sabah tidak akan tunduk kepada mana-mana pihak yang cuba menekan negeri ini demi kepentingan peribadi.

“Kami tidak akan berdiam diri melihat bagaimana ada pihak luar cuba mempertahankan individu yang sudah terbukti mencemarkan nama baik negara. Sabah bukan tempat untuk perniagaan kotor dan kartel tamak yang mahu memonopoli sumber negeri,” kata Fairuz.

Fairuz memberi amaran bahawa rakyat Sabah tidak akan membiarkan mana-mana pihak luar mencetuskan ketidakstabilan di negeri ini demi kepentingan tertentu.

“Jika benar perjuangan ini adalah untuk keadilan, maka carilah keadilan untuk mangsa, bukan untuk mereka yang pernah menindas golongan yang lebih lemah,” tegas Fairuz.