SANDAKAN : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Sandakan menjalankan 1,683 pemeriksaan bermula 1 Januari lalu sehingga kini.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah Sandakan Azdy Zukkry John berkata, pemeriksaan itu meliputi sejumlah 1,124 di kawasan bandar manakala 559 pemeriksaan di luar bandar Sandakan.

Katanya, hasil pemeriksaan terdapat 70 kes diambil tindakan membabitkan nilai rampasan keseluruhannya berjumlah RM1,008,409.74.
“Daripada 70 kes tersebut 56 kes telah diselesaikan dan dikompaun. Jumlah keseluruhan kompaun dikutip adalah berjumlah RM15,000 manakala 14 kes sedang dalam siasatan lanjut.

“Dari segi aduan, sebanyak 24 aduan diterima KPDN Sandakan sejak 1 Januari lalu sehingga kini manakala 23 (96 peratus) aduan berjaya diselesaikan manakala satu (4 peratus) aduan lagi sedang dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan media di sini semalam.

Azdy berkata, pihaknya akan meneruskan pemeriksaan di bawah ‘Ops Pantau 2025’ khasnya di seluruh daerah ini bagi memastikan peniaga dapat mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan oleh KPDN.
“Pihak KPDN cawangan Sandakan menjalankan pemantauan serta pemeriksaan Bazar Ramadan di kawasan tempat letak kenderaan Bataras Hypermarket, Bandar Utama, Batu 6, Jalan Utara, Sandakan.
“Pemeriksaan dijalankan berikutan pelaksanaan Ops Pantau 2025 KPDN bermula pada 2 Mac, sekali gus memastikan peniaga mematuhi undang-undang dikuatkuasakan serta tidak ada sebarang elemen pencatutan dilakukan oleh peniaga,” jelas Azdy.

Menurutnya, Ops Pantau 2025 akan memfokuskan pemantauan berkaitan bekalan dan harga barang, jualan murah, penggunaan alat timbangan, penjualan barang tiruan atau cetak rompak.
“Selain itu perbahasaan halal dan penjualan barang keperluan Hari Raya Aidilfitri.
“Pemeriksaan terhadap 100 gerai di bazar Ramadan semalam, mendapati hampir keseluruhan peniaga mematuhi undang-undang dikuatkuasakan KPDN terutamanya dari segi penandaan harga di bawah Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011,” kata Azdy.

Beliau menambah, selain lokasi bazar Ramadan tumpuan anggota penguat kuasa KPDN pemeriksaan rutin dilakukan terhadap premis perniagaan di pasar awam, pasaraya, pasar basah serta kedai runcit di seluruh daerah Sandakan.
“Kita juga akan dipertingkatkan pemeriksaan terutamanya di sepanjang bulan Ramadan hingga menjelang Hari Raya Aidilfitri.
“Kita ingatkan agar mematuhi perundangan ditetapkan disamping mengamalkan amalan perniagaan beretika serta tidak mengambil kesempatan dengan mengaut keuntungan berlebihan,” katanya.

Beliau berkata, dibawah AKHAP 2011, sekiranya mana-mana orang yang disabitkan kesalahan kerana didapati melakukan pengambilan untung yang berlebihan,ia boleh didenda tidak melebihi RM100,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
“Bagi mana-mana pertubuhan perbadanan yang disabitkan atas suatu kesalahan di bawah Akta ini selanjutnya boleh didenda tidak melebihi RM500,000.00.

“Bagi individu yang disabitkan kesalahan kerana gagal meletakkan tanda harga atau senarai harga ke atas barangan yang dijual boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM50,000.00 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali atau boleh dikompaun sehingga RM25,000.
“Manakala bagi syarikat yang melakukan kesalahan tersebut, boleh didenda sehingga RM100,000.00 atau dikompaun sehingga RM50,000,” tambah Azdy.