Konflik perceraian punca wanita maut ditikam suami di leher

KINABATANGAN : Seorang wanita maut ditikam suaminya di bahagian leher dalam kejadian di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Perpaduan Datu Ugi, di sini, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Supt D Ravi Berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.55 pagi itu, mangsa ditemui tidak bernyawa di ruang tamu rumah oleh anaknya sendiri.

Katanya, pihaknya menerima laporan daripada pengadu yang juga anak kepada pasangan terbabit.

“Pengadu memaklumkan bahawa ayahnya telah membunuh ibunya menggunakan sebilah pisau.

“Hasil siasatan awal mendapati, ketika mangsa berada di ruang tamu, suspek datang membawa pisau sebelum tiba-tiba menikam pangkal leher mangsa. Pengadu berada di tempat kejadian segera menghubungi pihak polis untuk mendapatkan bantuan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Ravi berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Duchess of Kent (HDOK) bagi proses bedah siasat.

“Siasatan awal daripada saksi bebas mendapati motif kejadian dipercayai berpunca daripada konflik perceraian pasangan berkenaan.

“Suspek berusia 75 tahun itu berjaya ditahan, manakala pisau yang disyaki digunakan untuk menikam mangsa turut dirampas,” jelas Ravi.