LAHAD DATU: Polis menahan tujuh individu termasuk seorang wanita disyaki terlibat dalam kes pergaduhan berkumpulan menerusi Op Cantas, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, ini susulan berikutan tular satu rakaman video berdurasi satu minit 44 saat di media sosial memaparkan kejadian pergaduhan berkumpulan menggunakan kerusi serta topi keledar kira-kira jam 9 malam.
Katanya, pihaknya menerima maklumat berhubung rakaman video pergaduhan tersebut kemudiannya melancarkan Op Cantas bagi mengesan semua individu terbabit.
“Pasukan polis kemudiannya berjaya menahan enam lelaki dan seorang wanita berumur 19 hingga 28 tahun disyaki terlibat dalam pergaduhan itu.
“Semua mereka ditahan reman mengikut Sesksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bermula 10 hingga 13 Oktober depan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
ACP Rohan Shah berkata, pihak polis turut merampas topi keledar berwarna kelabu disyaki digunakan semasa dalam pergaduhan berkenaan.
“Siastan awal pihak polis mendapati mendapati kejadian itu berlaku di sebuah pasar malam, Jalan Mawar pada Sabtu lalu.
“Motif kejadian itu dikenalpasti balas dendam berikutan perbalahan pasangan kekasih sehingga menyebabkan pergaduhan antara dua pihak,” katanya.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh menggunakan senjata (Topi Keledar) di tempat awam.