KOTA KINABALU: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata apa yang penting sekarang menjaga soal kemajmukan rakyat negara ini dan mengetepikan perbezaan politik serta etnik.
“Cukuplah sepenggal lalu politik kita berkecamuk dan kita dapat tiga kepemimpinan yang berbeza. Lihatlah apa akibat yang berlaku kepada negara kita.
“Kini, kita sama-sama bentuk (Kerajaan Perpaduan) bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan 19 parti dalam empat gabungan utama, jadi ini yang menjadi keutamaan,” katanya.
Beliau berkata, UMNO juga menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang sebelum ini menyuarakan kebimbangan berhubung isu kestabilan kerajaan dan bertitah supaya rakyat, ekonomi, kesejahteraan serta kemakmuran negara seharusnya diutamakan.
“Semua pemimpin parti politik perlu menghayati dan menjunjung titah Sultan Ibrahim itu sejajar hasrat untuk maju dan membentuk negara yang stabil daripada segi politik dan ekonomi.
“Kita mahu politik yang stabil, selain mahu pelaburan luar dan dalam meningkat kerana kita mahu mengutamakan pertumbuhan ekonomi. Kerajaan sekarang stabil dengan 148 Ahli Parlimen menyokong dan sokongan itu harus ditambah,” katanya.