KOTA KINABALU: Keputusan kerajaan persekutuan untuk mendedahkan laporan penuh tragedi ‘Double Six’ mengorbankan nyawa lima Menteri Kabinet Sabah 47 tahun lalu merupakan satu langkah tepat.
Ketua Penerangn Parti Warisan (WARISAN), Datuk Mohd Azis Jamman berkata, pengumuman
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini adalah sesuatu yang sangat dialu-alukan ramai rakyat Sabah selepas menunggu sekian lama laporan mengenai nahas udara itu.
“Ia sekali gus akan menamatkan segala persoalan serta spekulasi mengenai kemalangan yang menyebabkan kematian 11 orang termasuk Ketua Menteri, Tun Fuad Stephens pada 6 Jun 1976.
“Tragedi itu masih terpahat dalam ingatan ramai rakyat Sabah yang sejak itu tertanya-tanya mengenai punca kejadian kemalangan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Azis berkata, persoalan dan spekulasi biasanya timbul setiap tahun apabila upacara memperingati mereka yang terkorban diadakan di tapak kejadian di Sembulan.
“Warisan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan persekutuan yang bersetuju untuk mendedahkan laporan penuh tragedi ‘Double Six’ dan sekaligus mengatasi kebimbangan rakyat Sabah,” katanya.