Kebersamaan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan penting dalam membangunkan sesebuah negeri – Bung Moktar

SHAH ALAM: Kebersamaan pemerintahan antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan menjadi faktor penting bagi membangunkan sesebuah negeri secara bersama.

Justeru, Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Bung Moktar Radin menekankan betapa pentingnya negeri-negeri dibawah pemerintahan sama dengan Kerajaan Perpaduan yang sudah tentu memudahkan usaha membangunkan negeri secara bersama.

“Jika dibandingkan dengan negeri-negeri bukan dibawah Kerajaan Perpaduan…ini akan menimbulkan satu sempadan yang besar antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

“Sebab itu rakyat di enam negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini harus lihat perkara ini secara terbuka bahawa agenda nasional Kerajaan Perpaduan bukan hanya pada PRN ini tetapi memastikan ekonomi negara dapat dibangunkan secara bersama,” katanya ketika ditemui selepas Ceramah Perdana di Taman Cheras Perdana dekat sini, malam tadi.

Hadir sama, calon BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua Datuk Johan Abd Aziz.

Enam negeri terlibat pada PRN ini iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Bung Moktar yang juga Pengerusi Badan Pimpinan UMNO Sabah berkata dengan kebersamaan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, kestabilan itu dapat dinikmati rakyat secara langsung.

Pada masa sama, beliau menjelaskan sebarang keputusan pada PRN ini tidak membawa penukaran Kerajaan Persekutuan seperti yang dibawa oleh Perikatan Nasional (PN) pada kempen mereka.

Mengenai isu pembangunan dimainkan oleh Perikatan Nasional (PN) pada kempen PRN di Selangor, Bung Moktar menyifatkan ia hanya isu retorik dan bukan isu besar disebabkan Selangor dari dulu ketika dibawa BN hingga kini dibawah PH pesat membangun.

Katanya Selangor menjadi penyumbang tinggi dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan atas faktor ini negeri ini sentiasa dalam perhatian Kerajaan Perpaduan.