Jangan rentas daerah, negeri sempena Aidiladha

KUANTAN: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan orang ramai supaya tidak cuba merentas daerah atau negeri sempena sambutan Aidiladha minggu depan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan masih tidak membenarkan rentas daerah dan negeri dalam Fasa Satu atau Dua, Pelan Pemulihan Negara (PPN). Orang ramai sepatutnya ambil iktibar lonjakan kes wabak COVID-19 selepas sambutan Aidilfitri lalu.

“Ketika itu rentas daerah dan negeri masih belum dibenarkan tetapi ramai yang curi-curi balik (pulang), ikut lorong tikus dan sebagainya.

“Kalau kita lihat kluster rentas negeri, kluster ini memuncak selepas itu seperti yang berlaku di Terengganu misalnya seluruh keluarga dijangkiti dan ada yang meninggal dunia begitu juga di Kelantan pun sama.

“Jadi saya harap kes itu ia menjadi iktibar walaupun kita pandai nak lari dari sekatan polis untuk balik ke kampung dan boleh lepas daripada polis tetapi mungkin tak lepas jangkitan COVID-19.

“Oleh itu, kita jaga kita dan membuat kawalan kendiri untuk pastikan kita selamat,” katanya dalam laporan Berita Harian hari ini

Hadri sama, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Justeru, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan meminta rakyat bersabar dan mengikut fasa PPN yang diumumkan sebelum ini.

“Jika vaksin ini dapat diberikan kepada rakyat dan apabila imuniti kelompok sudah diperolehi pada Fasa Tiga dan Empat, rentas daerah dan negeri akan dibenarkan. Tunggulah kerana Fasa Tiga boleh rentas daerah manakala Fasa Empat pula rentas negeri dan bersabarlah,” katanya.