TELUPID: Selepas pendedahan isu ‘Rumah Guru di Sk Ulu Ansuan’ kini timbul pula masalah Jambatan Gantung yang boleh mengancam nyawa hampir 1,500 penduduk di Kampung Ansuan dan Baba, Telupid.
Jambatan gantung kira-kira 150 meter panjang ini kerapkali mengalami kerosakan apabila berlaku banjir besar di Sungai Labuk.
“Berpuluh tahun penduduk kampung bertahan dan menanti namun tiada tindakan kerajaan membina sebuah jambatan konkrit bagi menyelesaikan masalah penduduk di sini.
“Mungkin jika berlakunya kejadian sehingga meragut nyawa barulah ada pihak tampil menunjukkan rasa belas kasihan kepada mangsa yang terlibat.
“Paling menyedihkan apabila pernah berlaku kejadian dimana penduduk kampung mengalami sakit dan terlantar di rumah terpaksa ditolak menggunakan kereta sorong untuk menyeberangi jambatan gantung Sungai Labuk,“ kata Lormin Jose, wakil penduduk Kampung Ulu Ansuan kepada Sabah News Today, hari ini.
Lormin berkongsi pengalaman sedihnya apabila air Sungai Labuk naik mendadak jambatan tersebut tidak boleh dilalui berikutan sangat terdedah kepada faktor ancaman air banjir.
“Lebih membahayakan apabila ada bahan kayu dihanyutkan air deras di Sungai Labuk akan terdampar di jambatan gantung ini sekali gus menyebabkan jambatan gantung ini tidak dapat dilalui berikutan faktor keselamatan.
“Sampai bila kami bertahan, kami menyokong pendedahan berani Guru Besar SK Ulu Ansuan Telupid tersebut, sehingga mendapat riaksi daripada pihak berwajib,” Jelas Lormin.