Institusi Islam perlu peka dan berhikmah beri pandangan atau penjelasan hukum syarak

KOTA KINABALU: Institusi Islam di negara ini perlu sentiasa peka dan berhikmah dalam memberikan pandangan atau penjelasan mengenai hukum syarak, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Beliau berkata ia penting agar Islam dilihat sebagai ad-din yang menzahirkan kesefahaman dan kehormanian bermasyarakat.

Hajiji pada Majlis Tautan Ukhwah dan Mahabbah sempena Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali ke-122, di sini, malam tadi.

Justeru itu, katanya, jabatan dan agensi yang terbabit dalam pengurusan hal ehwal Islam juga perlu bekerjasama dan bergabung tenaga dalam menyelesaikan masalah umat Islam dan memartabatkan syiar Islam di negara ini.

Katanya, ia merangkumi Jabatan Agama Islam Negeri, Jabatan Mufti Negeri, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Ehwal Agama Islam Malaysia dan Majlis Fatwa Negeri.

“Hal ini juga akan memupuk keyakinan yang ampuh kepada pihak berkuasa agama dalam memberi penerangan yang jelas dan tuntas dalam isu agama sama ada politik, sosial, ekonomi dan seumpamanya.

“Ia penting agar kehidupan masyarakat Islam berteraskan kepada panduan al-Quran dan al-Sunnah serta penjelasan daripada alim ulama yang muktabar,” katanya pada Majlis Tautan Ukhwah dan Mahabbah sempena Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali ke-122, di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, perpaduan dan persefahaman masyarakat menjadi antara matlamat Dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilaksanakan kerajaan Sabah, iaitu membina negeri dan masyarakat yang bersatu, aman, makmur dan sejahtera.

Jelasnya, ia juga selaras dengan gagasan Malaysia Madani dengan enam nilai teras yang mengukuhkan lagi nilai persaudaraan dan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama.

“Malaysia adalah aebuah negara majmuk dari segi penduduknya, terutama negeri Sabah yang menjadi tanah tumpah darah kepada 33 kumpulan pribumi, yang bertutur dalam 50 bahasa dan 80 dialek etnik.

“Bayangkan betapa hebat dan uniknya khazanah budaya bangsa yang kami warisi ini. Saya sendiri mempunyai ramai saudara-mara dan ipar duai yang berlainan bangsa, budaya dan kepercayaan agama.

“Namun, rakyat Sabah tetap hidup dalam suasana harmoni dan rukun damai sejak berkurun lamanya. Kemesraan dan keharmonian itulah sebenarnya nilai kekuatan yang memperkukuhkan perpaduan,” katanya.

Beliau percaya perbezaan bangsa, budaya dan agama yang wujud tidak akan menjadi batu penghalang kepada rakyat negeri ini memperkukuhkan kesatuan dan perpaduan.