Imigresen Sabah hantar 623 PTI warga Filipina pulang ke negara asal

SANDAKAN : Seramai 623 warga Filipina dihantar pulang dalam Program Pemindahan Tahanan Pendatang Tanpa Izin (PTI) melalui Pelabuhan Sandakan ke Zamboanga City, Filipina di sini semalam.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Sabah Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, mereka terdiri daripada 483 lelaki, 80 wanita, 60 kanak-kanak termasuk bayi seawal usia 11 bulan hingga warga emas berumur 79 tahun dipindahkan daripada Depot Imigresen Papar dan Depot Imigresen Sandakan.

Katanya, kesemua PTI dipindahkan ini melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Ini termasuk kesalahan memasuki negara tanpa pas atau permit yang sah dan tinggal melebihi tempoh dibenarkan.

“Mereka menjalani hukuman penjara dan dibenarkan pulang selepas melengkapkan proses dokumentasi pemulangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sitti Saleha berkata, pihaknya semua nama tahanan PTI terlibat akan disenaraihitamkan dalam sistem Imigresen mengikut jenis kesalahan dilakukan.

“Ini tsekali gus menghalang mereka daripada memasuki Malaysia semula secara sah.

“Proses pemindahan ini berjaya direalisasikan hasil kerjasama erat dengan Kedutaan Republik Filipina mengeluarkan dokumen perjalanan yang sah untuk kesemua tahanan,” jelas Sitti Saleha.

Menurutnya, sehingga kini, seramai 3,993 orang warganegara Filipina berjaya dipulangkan ke negara asal melalui pintu masuk negeri Sabah.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan warganegara asing yang telah dipindahkan dalam program ini seramai 4,834 orang.

“Kita menegaskan bahawa kita Jabatan Imigresen Negeri Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau pihak yang menyalahgunakan kemudahan imigresen.

“Ini termasuk majikan dan pemilik premis yang menggaji pekerja asing tanpa dokumen yang sah termasuk pendakwaan akan dikenakan kepada mana-mana pihak yang melanggar undang-undang mengikut Akta 155 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Beliau juga menggesa semua pihak terutama majikan agar memastikan pengambilan pekerja asing dilakukan melalui saluran sah bagi mengelakkan implikasi perundangan dan menyokong kawalan kemasukan warga asing secara berhemah dan sistematik.