Henti segera sebar spekulasi kes Zara – Peguam

KOTA KINABALU : Peguam mewakili ibu kepada arwah Zara Qairina Mahathir menggesa orang ramai agar menghentikan penyebaran video, gambar dan spekulasi berkaitan kes itu yang semakin berleluasa di media sosial.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Hamid Ismail dan Shahlan Jufri, video seorang wanita yang mendakwa arwah Zara dimasukkan ke dalam mesin basuh dianggap satu bentuk spekulasi.

“Anak guam kami, iaitu ibu Zara tidak pernah memberi maklumat seumpama kepada sesiapa.

“Sumber terbabit diminta untuk menyalurkan maklumat yang dinyatakan kepada polis bagi tujuan siasatan,” katanya.

Kenyataan sama turut menafikan gambar yang menggambarkan kronologi Zara hanya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE1) pada jam 8.00 pagi, 16 Julai.

Menurut peguam, maklumat yang membentuk kronologi berkenaan tidak datang daripada anak guam mereka.

“Dalam masa sama, pihak peguam turut menekankan bahawa penyebaran gambar pelajar sekolah di media massa bersama kenyataan negatif adalah satu kesalahan jenayah.

“Antara peruntukan yang dinyatakan ialah Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001, serta Seksyen 211 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Kenyataan itu turut merujuk kepada penyebaran senarai nama pelajar sekolah yang mengandungi maklumat peribadi sebagai satu kesalahan mengikut Seksyen 130 Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 dan Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Oleh itu, peguam memohon agar penyebaran video dan gambar dihentikan segera, selain menggesa individu yang sudah berbuat demikian supaya memadam kandungan berkaitan.

“Spekulasi hanya menambah tekanan dan kesedihan kepada anak guam kami,” katanya