KOTA KINABALU: Kementerian Pengangkutan perlu campur tangan serta menangani isu kenaikkan harga tiket penerbangan domestik ke beberapa destinasi terutama menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata rakyat Sabah kini mengadu sambil mengeluh dengan fenomena isu kenaikkan mendadak Malaysia Airline (MAS) dan Air Asia dilihat menghisap darah penumpang.
“Bayangkan tiket ekonomi sahaja tambang sehala kini mencecah RM2,800 dan ada juga harga sehingga RM3,600 untuk satu perjalanan.
“Perkara sebegini tidak seharusnya berlaku…Seolah-olah MAS serta Air Asia hanya mengaut keuntungan dengan menghisap darah penumpang!…Ini tidak mencerminkan Keluarga Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan Facebook hari ini.
Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya, berkata dalam beberapa minggu lagi umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidil Fitri sudah tentu perjalanan udara menjadi tumpuan warga Sabah serta Sarawak balik ke tempat masing-masing.
“Harga seumpama ini memang tidak masuk akal sekali gus menyebabkan mereka tidak mampu balik ke kampung menjelang Aidilfitri.
“Rakyat kita yang tinggal di Kuala Lumpur akan balik ke Sabah, tetapi ramai membatalkan hasrat mereka kerana tidak berkemampuan membeli hari tiket yang mahal ini,” katanya.
Dalam tempoh sama Air Asia juga mengenakan syarat kepada semua penumpang wajib mendaftar masuk melalui mesin yang disediakan bagi mengelak dikenakan bayaran RM100.
“Air Asia kena faham di Sabah masih ramai yang tidak memiliki telepon pintar dalam kalangan pakcik dan makcik yang tinggal di kawasan pedalaman sekali gus tidak memahami proses daftar masuk melalui mesin yang disediakan,” katanya.