KOTA KINABALU : Kerajaan Pusat perlu mengambil tindakan segera untuk menyalurkan vaksin memandangkan bekalan tersebut semakin berkurangan di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, permintaan vaksin semakin hari semakin meningkat manakala bekalan sedia ada tidak mencukupi bagi memenuhi keperluan mereka yang sudah mendaftar di ApIikasi MySejahtera atau melalui pendaftaran secara manual.
Katanya, ketika ini beliau difahamkan pihak Hospital terpaksa menangguhkan temujanji penerima Vaksin dos pertama dan kedua berikutan kekurangan bekalan vaksin yang sepatutnya.
“Perkara ini tidaksepatutnya berlaku dalam usaha kita untuk mempercepatkan pemberian vaksin kepada rakyat yang sudah mendaftarkan diri melalui kaedah sedia ada.
Katanya, setakat ini hanya 10,000 hingga 11,000 orang dalam sehari rakyat di Sabah menerima dos vaksin dan sepatutnya boleh ditingkatkan kepada 20,000 orang sehari.
“Kerajaan negeri sedang mempergiatkan pelbagai kempen kesedaran mengenai kebaikan vaksin kepada rakyat Sabah. Ini termasuklah program Outrech Imuniasasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) ke luar bandar termasuk pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang baru…tetapi malangnya bekalan vaksin kita tidak mencukupi,” katanya.
Sehubungan dengan itu Bung meminta kerajaan Pusat khususnya kementerian yang berkaitan agar melihat isu ini sebagai perkara penting agar keadilan bagi penerima Vaksin di negeri ini dapat dipenuhi selari dengan MA63.
Meskipun jumlah kes positif COVID-19 di Sabah masih agak terkawal dan sepatutnya Sabah boleh disenaraikan dalam Fasa Kedua Pelan Pemulhan Negara.
“Kerajaan Pusat wajar mengambil kira aspek keselamatan dan kesihatan rakyat Sabah dengan membekalkan vaksin yang mencukupi untuk kegunaan rakyat di negeri ini,” katanya.