‘Dine-in’ di restoren dibenarkan: Mayor

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) membenarkan pengusaha restoran untuk menerima pelanggan secara dine-in dalam premis masing-masing berkuatkuasa serta-merta.

Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Noorliza Awang Alip berkata, sehubungan itu semua pihak termasuk pengusaha restoran, kedai serta  pelanggan perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang diamalkan sebelum ini.

“Kita guna pakai SOP sedia ada sementara menunggu SOP baharu dari Kerajaan Pusat. Oleh itu diharapkan agar semua mematuhi segala peraturan yang ditetapkan sekali gus mengelak daripada berlakunya penularan wabak COVID-19,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, kelonggaran itu diberikan berdasarkan pengumuman yang dilakukan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor pada 28 Jun lalu yang membenarkan lebih banyak sektor perniagaan untuk beroperasi.

“Memandangkan ketika ini belum ada SOP baharu dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), maka SOP untuk dine-in sebelum ini boleh digunapakai,” katanya.

Baru-baru ini, selepas Hajiji mengumumkan perkara berkenaan, Menteri Kanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan bahawa tiada negeri yang boleh membentuk SOP sendiri.

Bagaimanapun, pada 3 Julai lalu Kerajaan Pusat membenarkan lima negeri untuk beralih ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara tetapi Sabah dikecualikan.

Selain Kota Kinabalu, Majlis Perbandaran Sandakan turut telah mengeluarkan notis untuk membenarkan dine-in di daerah berkenaan.