SHAH ALAM : Management And Science University (MSU) mencatatkan rekod 99 peratus kebolehpasaran graduan memperoleh peluang selepas menamatkan pengajian.
Presidennya, Prof Tan Sri Dr. Mohd Shukri Ab Yajid berkata, sebelum ini MSU merekodkan 98.7 peratus kebolehpasaran graduan sekali gus menjangkakan 100 peratus akan dapat dicapai menjelang tahun depan.
Katanya, ketika ini MSU menjalin kerjasama bersama 2,000 hubungan dalam Industri Kecil dan Sedarhana (IKS), Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) serta Syarikat-Syarikat Multinasional (MNC) di seluruh negara.
“MSU bukan hanya menjalin kerjasama di Malaysia malah diperingkat global meliputi India, Columbia, China, Indonesia serta beberapa negara lain termasuk Jepun dalam industri digital di peringkat antarabangsa.
“Tiada isu graduan MSU gagal mempunyai peluang pekerjaan selepas menamatkan pengajian…ternyata sektor industri memerlukan graduan MSU untuk mengisi sektor industri mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Graduasi Kumpulan Kolej MSU Kali Ke-26 di sini, hari ini.
Mohd Shukri berkata, paling membanggakan adalah Pelajar perubatan Falkuti Sekolah Perubatan Antarabangsa MSU mengisi kekosongan jawatan doktor perubatan di hospital kerajaan dan swasta di negara ini.
“Setiap kali bergraduasi, pelajar perubatan MSU berjaya mencipta rekod tersendiri apabila menjadi rebutan dalam kalangan pengamal perubatan di seluruh negara ini.
“Penawaran program perubatan di MSU bermatlamat melahirkan lebih ramai pakar perubatan membantu kerajaan mencapai matlamat memperkasakan pembangunan modal insan dalam bidang berkenaan.
“Melalui Sekolah Perubatan Antarabangsa (IMS), program perubatan atau MBBS berkenaan ditawarkan di kampus utama MSU di Shah Alam, Selangor dan kampus pesisir antarabangsa MSU di Bangalore, India,” jelas Mohd Shukri.
Tambahnya, sebagai langkah mengekalkan pencapaian ini, sejumlah RM50 juta biasiswa ditawarkan oleh Yayasan MSU kepada pelajar di peringkat sekolah menengah untuk memberi peluang melanjutkan pelajaran di peringkat antarabangsa.
“Kita akan mulakan di peringkat zon tengah dahulu meliputi sekolah menengah, kolej vokasional sebelum diperluaskan nanti di seluruh negara.
“Sehingga kini dianggarkan lebih 20,000 pelajar, belajar di MSU Shah Alam manakala terdapat 11 lagi kolej MSU di seluruh negara,” tambah Mohd Shukri.