KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah mengetatkan lagi kawal selia terhadap syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan berkanun dengan mewajibkan semua CEO, Pengurus Besar Kumpulan (GGM) dan Pengurus Besar (GM) menghantar laporan prestasi bertulis setiap tiga bulan terus kepada Ketua Menteri bermula tahun depan.
Langkah drastik ini menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan struktur pengurusan sedia ada serta sejauh mana GLC negeri telah memenuhi tanggungjawab mereka kepada rakyat.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata arahan itu dibuat bagi memastikan kerajaan menerima maklumat yang tepat dan terkini mengenai kemajuan projek, kedudukan kewangan dan pencapaian operasi setiap entiti.
Menurutnya, laporan tanpa perantara ke pejabat Ketua Menteri adalah mekanisme baharu untuk menutup ruang kelewatan dan keciciran maklumat yang berlaku sebelum ini.
Hajiji turut mengeluarkan amaran tegas kepada peneraju GLC: kegagalan menghantar laporan, tidak mencapai KPI atau menunjukkan prestasi yang meragukan akan membawa kepada tindakan termasuk penukaran atau penamatan kontrak.
“Amaran ini mencerminkan ketidakpuasan kerajaan terhadap beberapa prestasi GLC yang sebelum ini didakwa tidak selari dengan matlamat pembangunan negeri,” Katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menekankan keperluan tadbir urus profesional, integriti kewangan dan ketelusan pelaksanaan sebagai asas utama dalam menguruskan dana awam.
Langkah ini dilihat sebagai usaha meredakan keresahan awam terhadap isu ketirisan, pengurusan lemah dan kegagalan projek-projek tertentu yang sebelum ini mengundang kritikan.
Walaupun tidak semua GLC mempunyai tujuan komersial — sebahagiannya berorientasikan perkhidmatan sosial — Hajiji menegaskan setiap entiti tetap tertakluk kepada standard kecekapan dan akauntabiliti yang sama.
Menurutnya, rakyat berhak melihat manfaat nyata daripada operasi GLC, bukan sekadar laporan prestasi yang tidak mencerminkan realiti di lapangan.
Katanya, pendekatan pemantauan lebih ketat ini penting untuk memastikan agenda Sabah Maju Jaya 2.0 dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan tidak tersangkut pada birokrasi atau kelemahan dalaman. Dengan pemantauan langsung dan disiplin pengurusan yang lebih tegas, kerajaan berharap hasil GLC benar-benar sampai kepada rakyat, bukan hanya kekal sebagai indikator di atas kertas.
