Ewon alu-alukan cadangan penubuhan Koperasi Pacos bantu komuniti

PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mengalu-alukan cadangan penubuhan koperasi Pacos bagi membantu meningkatkan ekonomi komuniti terutamanya orang asal.

Katanya, walaupun Pacos lebih kepada memperjuangkan hak-hak asasi namun tidak salah sekiranya badan bukan kerajaan itu memperluaskan peranan dalam bidang ekonomi.

“Sudah tiba masanya Pacos memperluaskan peranan dari segi ekonomi untuk membantu meningkatkan pendapatan komuniti.

“Saya akan minta pegawai Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk memberikan taklimat kepada Pacos mengenai penubuhan koperasi dan juga taklimat dari beberapa agensi kementerian yang lain,” katanya ketika berucap pada Program Dialog bersama PACOS, Persatuan Usahawan Maju Malaysia (PUMM) dan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil.

Ewon merupakan Ahli Parlimen Penampang berharap melalui penubuhan koperasi itu kelak akan membantu meningkatkan lagi sosio ekonomi komuniti pedalaman dan luar bandar.

Beliau berkata, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan menyediakan peruntukan sebanyak RM20 juta pada tahun depan khusus untuk perusahaan berasaskan komuniti.

“Saya telah mengatakan sebelum ini bahawa, tanpa mengurangkan fokus sedia ada di kementerian, saya mahu memberi fokus tambahan kepada Sabah dan Sarawak dan perkampungan orang asli di Semenanjung dalam pembangunan usahawan dan koperasi,” katanya.

Ewon juga berharap agar Pelan Pembangunan Keusahawanan Penampang dapat disiapkan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun depan bagi membolehkan ianya dijadikan dasar dan program kementerian.

“Saya telah meminta Pejabat Daerah, Pejabat Parlimen Penampang dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazandusun (KCCI) supaya pelan pembangunan ini disiapkan dalam tempoh tiga bulan.

“Pelan pembangunan ini adalah wawasan saya untuk membangunkan Penampang dalam bidang keusahawanan berasaskan digital, perusahaan berasaskan agro-pelancongan, perusahaan sosial dan perusahaan kecil penjaja di tamu-tamu,” katanya.

Katanya lagi, KUSKOP juga mencadangkan penubuhan Majlis Pembangunan Usahawan, Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil di setiap daerah seluruh negara bermula tahun depan.

“Majlis ini akan dipengerusikan oleh Pegawai Daerah untuk mengurus pembangunan dan menyelesaikan isu berkaitan usahawan, koperasi, penjaja, dan peniaga kecil di peringkat akar umbi secara lebih berkesan.

“Sebelum ini, terdapat majlis pembangunan usahawan dan koperasi di peringkat Parlimen, namun majlis itu perlu diperkasa,” katanya.

KUSKOP mempunyai 10 agensi yang masing-masing mempunyai peranan untuk membantu usahawan iaitu TEKUN Nasional, SKM, Institut Koperasi Malaysia, SME Corp Malaysia, Bank Rakyat, SME Bank, UDA Holdings Berhad, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Institut Keusahawanan Negara dan Perbadanan Nasional Berhad (Pernas).