ESSCOM tahan penganggur disyaki miliki dadah jenis syabu

Ahmad Fuad

Oleh: Zakaria Damit
SANDAKAN: Pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai timur Sabah (ESSCOM) telah menahan seorang lelaki tempatan kerana disyak memiliki Dadah jenis Syabu seberat 4.14 gram, di Jalan Kampung Sungai Darling, Batu 12, dekat sini, malam tadi.

Komander ESSCOM DCP Datuk Ahmad Fuad Berkata ketika kejadian kira-kira jam 8.45 malam itu, sepasukan anggota Batalion 15 Pasukan Gerakan Am (PGA), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sedang melakukan rondaan OP Cegah Pati (OCP) Utara ESSCOM telah menahan seorang lelaki yang sedang menaiki motorsikal di laluan berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata pasukan keselamatan ESSCOM telah membuat pemeriksaan ke atas tubuh badan dan sebuah beg kulit yang disangkut di tepi pinggang sebelah kanan suspek.

Dadah jenis Syabu seberat 4.14 gram

“Hasil pemeriksaan terhadap beg kulit tersebut didalamnya telah ditemui sejumlah 24 paket plastik kecil lutsinar yang mengandungi serbuk hablur disyaki syabu dengan anggaran berat lebih kurang 4.14 gram.

“Pemeriksaan awal saringan dan ujian air kencing juga mendapat suspek positif Methamphetamine”, katanya.

Ahmad Fuad berkata suspek yang berumur 28 tahun itu telah ditahan untuk siasatan dan dibawa ke ibu pejabat polis daerah Sandakan untuk tindakan lanjut.

“Kes akan disiasat dibawah seksyen 12(2) Akta Berbahaya 1952 dan Seksyen 15, Akta Dadah Berbahaya 1952”.

“Turut dirampas sebuah motorsikal yang digunakan oleh suspek dalam kejadian tersebut”, katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Fuad merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi keselamatan yang terlibat dalam membantu menjayakan dan melancarkan Op Cegah Pati (OCP) Daratan sektor Utara ESSCOM di daerah ini terutamanya kepada semua anggota Batalion 15 PGA, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan anggota Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan.

Beliau berkata kejayaan ini merupakan hasil usaha dan kerjasama semua pihak yang terlibat terutamanya dalam menggagalkan taktik penyeludup dadah di daerah ini.

Menurutnya lagi, ESSCOM dengan kerjasama semua agensi keselamatan di ESSZONE yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan terus memperketatkan kawalan keselamatan di sempadan perairan dan daratan di seluruh ESSZONE dengan mengadakan rondaan dan pemantauan secara agresif melalui pelaksanaan OP Cegah Pati (OCP) dengan menggunakan dan mengadaptasikan konsep “show of presence” bagi mengawal dan mengekang kemasukan PATI terutamanya daripada negara jiran dalam usaha kita untuk memutuskan rangkaian COVID-19 daripada di bawa masuk ke negara ini melalui PATI.

SabahNewsToday

Leave a Reply