TAWAU : Bahagian Siasatan Khas/Teknikal Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) telah menahan 35 individu menerusi Operasi Bersepadu Siri 8/2023 yang diadakan di seiktar daerah ini pada Isnin lepas.

Komander Eastern Command, DCP Datuk Victor Sanjos berkata, daripada jumlah itu, 33 individu ditangkap dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Tawau atas kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Manakala, katanya, dua individu wanita ditahan di bawah Seksyen 37B(1) Akta Dadah Berbahaya dan pihaknya turut merampas dadah jenis Ketamin seberat 27.2 gram.

“Lain-lain kes, tangkapan dan kompaun melibatkan dua kes berjaja tanpa lesen serta masing-masing satu kes di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Selain itu, operasi tersebut turut mengeluarkan empat notis Majlis Perbandaran Tawau (MPT). Keseluruhan nilai rampasan pada operasi bersepadu kali ini adalah sebanyak RM2,280,” katanya dalam satu kenyataan.
Menutut Victor, operasi itu berlangsung selama tiga hari melibatkan 200 petugas daripada pasukan keselamatan, jabatan dan agensi berkaitan serta pihak berkuasa tempatan yang bertujuan untuk memperhebat operasi membanteras jenayah rentas sempadan dan menguatkuasakan undang-undang di perairan dan daratan.
Katanya, operasi kali ini mensasarkan kawasan seperti jeti, premis perniagaan, CIQ lama dan pasar ikan yang memfokuskan kepada kesalahan-kesalahan berkaitan barang kawalan dan bersubsidi di pasaran.
“Operasi ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan melalui Operasi SANGGAH ESSCOM dalam usaha memperkasa operasi sedia ada di bawah PDRM, ATM dan APMM di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone).
“Ia bagi memastikan ancaman pencerobohan anasir asing dapat dikekang serta pemeliharaan keselamatan awam di pantai timur Sabah kekal sejahtera dan terkawal,” jelasnya.
Dalam operasi tersebut, sebanyak 54 buah bot dan 1,125 individu di sekitar kawasan operasi telah diperiksa oleh pihak berkuasa.