SANDAKAN : Empat lelaki warga tempatan ditahan dalam ‘Ops Tapis’ dijalankan di sekitar kawasan setinggan serta Taman Perumahan di Jalan Kenari, Batu 7 dan Taman Nasalim, Batu 5, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP George Abd Rakman berkata, kesemua mereka berusia antara 20 hingga 40 tahun ditahan dalam serbuan dijalankan sekitar jam 11 pagi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati salah seorang daripada mereka merupakan pengedar dadah manakala dua lagi disyaki memiliki syabu serta seorang merupakan penagih tegar.
“Selepas ujian air kencing dijalankan, kesemuanya suspek didapati positif dadah jenis syabu.
“Kesemua mereka kini disiasat mengikut Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.
George berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang cuba menjadikan Sandakan sebagai pusat edaran atau penagihan dadah.
