PAPAR: Projek jangka panjang bagi mengatasi isu bekalan air di Sabah dijadual bermula Oktober ini menerusi pembinaan Empangan Ulu Padas di Tenom yang disasar mampu membekal air mencukupi hingga 100 tahun.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata projek empangan yang dianggarkan bernilai kira-kira RM4 bilion itu dijangka siap pada 2027 dengan keupayaan membekalkan air sehingga 6,000 juta liter sehari (JLS).
Katanya projek itu bagi mengatasi masalah khususnya di kawasan pedalaman dan pantai barat Sabah dengan kemampuan untuk bertahan antara 80 tahun hingga 100 tahun.
“Untuk rancangan jangka panjang, kita akan membina Empangan Ulu Padas di Tenom dan Insya Allah pecah tanah projek itu akan diadakan pada Oktober depan.
“Dengan pelaksanaan projek ini kita dapat menyelesaikan masalah air jangka panjang. Apabila siap, empangan ini boleh menyalurkan 6,000 JLS untuk jangka masa 80 hingga 100 tahun,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Projek Penambahan Kapasti Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon, di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Ir. Shahelmey Yahya dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali.
Hajiji berkata projek itu yang dilaksanakan secara usahasama di antara kerajaan negeri melalui Sabah Energy Corporation (SEC) dengan syarikat swasta turut menjana tenaga elektrik.
Mengenai satu lagi projek empangan dalam perancangan Kerajaan Negeri iaitu Empangan Papar, Hajiji berkata projek itu ketika ini masih di peringkat kajian kemungkinan.
Katanya Kerajaan Negeri berhasrat melaksanakan projek itu supaya kekurangan air jangka panjang tidak lagi berlaku hingga menjejaskan kemasukan pelabur.
“Setiap pelabur yang mahu ke Sabah, mereka akan tanya kemampuan kita membekalkan air dan elektrik.
“Kedua-dua bekalan ini kita akan usahakan dan untuk makluman, Suruhanjaya Tenaga diserahkan kuasa kepada Sabah mulai 1 Januari tahun depan,” kata Hajiji.