DUN Sabah: Penduduk Kg. Rampayan lebih memerlukan penyelesaian bencana banjir berbanding beras, minyak masak – Azhar   

KOTA KINABALU : Masalah sistem perparitan tidak berfungsi, projek tambatan banjir tidak diselesaikan antara punca masalah banjir kerap berlaku di Kampung Rampayan Manggatal.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Darau, Azhar Matussin berkata, masalah Sungai Rampayan ini semakin kritikal dikenal pasti cetek, sempit sekali gus tidak mampu menyalurkan air banjir.

Katanya, penduduk Kampung Rampayan sudah bosan terhadap janji palsu berharap agar sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ini kerajaan segera menyelesaikan masalah banjir di kampung mereka.

“Saya selaku wakil rakyat mewakili mereka tidak lagi mahu mendengar alasan, penduduk Kampung Rampayan perlukan jawapan serta tindakan nyata bagi menyelesaikan masalah banjir.

“Mereka bertanya menghantar Pesanan Khidmat Ringkas (whatsapp) bertanya Apa tindakan segera yang akan diambil untuk membaiki sistem perparitan Kampung Rampayan, antaranya, Jangan beri alasan, kami mahukan jadual pelaksanaan yang jelas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perbahasan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Azhar berkata, beliau ingin bertanya dimanakah rancangan komprehensif untuk menyelesaikan masalah banjir terutama di kawasan rendah?

“Jangan lagi minta rakyat agar terus bersabar, mereka sudah penat menunggu….Berapa lama lagi penduduk Kampung Rampayan perlu menderita sebelum ada infrastruktur tahan banjir yang betul-betul berkesan.

“Bukan projek separuh masak atau kerja cuai!, kita ingin bertanya mengapa tiada peruntukan khusus untuk menyelesaikan masalah banjir di Kampung Rampayan,” jelas Azhar.

Beliau ingin bertanya, ke mana perginya dana rakyat serta ke mana perginya bajet-bajet berbillion ringgit seperti yang dilaung -laungkan selama ini.

“Jika tidak ada tindakan dalam tempoh terdekat, saya yakin rakyat terutama penduduk Kampung Rampayan Manggatal akan bangkit untuk desak perubahan lebih radikal.

“Kampung Rampayan tidak boleh terus jadi mangsa kecuaian! Cukup-cukuplah dengan janji, mereka mahukan solusi,” kata Azhar.

Menurutnya, sehingga kini masalah dikenal pasti punca banjir berlaku adalah sungai utama berhampiran Jalan Universiti Malaysia Sabah (UMS ) menghubungkan ke kuala muara sungai sempit dan cetek.

“Ini disebabkan oleh hakisan sepanjang tebing dan menyebabkan sungai semakin mengecil. Perkara ini telah pun saya bawa ke sidang DUN sebelum ini.

“Saya mencadangkan agar sungai ini dilebarkan dan didalamkan dilaksankan dalam tempoh kadar segera.

“Keadaan dan rekabentuk jambatan berhampiran kawasan perkuburan Islam Kampung Rampayan Laut adalah kecil dan tidak sesuai menjadi punca aliran sungai tidak lancar,” jelasnya.

Beliau berkata, untuk mengatasi masalah ini, reka bentuk jambatan tersebut perlu diubah dengan kadar segera.

“Tindakan drastik adalah untuk meroboh serta membina semula jambatan baharu yang bersesuaian dengan kelebaran sungai Kampung Rampayan.

“Mendapan lumpur di sepanjang Sungai Sebagon Rampayan tidak diselenggara secara berkala/berjadual menyebabkan laluan keluar air hanya berkelebaran lebih kurang 1/3 daripada saiz kelebaran sungai itu sendiri,” tambah Azhar.

Beliau dimaklumkan penyelengaraan telah dibuat baru-baru ini tetapi tanah berserta lumpur mendapan dikorek kontraktor dilantik tidak dibersihkan hanya dibiarkan di tebing sungai.