KOTA KINABALU : Dua penunggang motosikal mengalami kecederaan selepas terlibat dalam kemalangan akibat tumpahan minyak di atas jalan raya di sekitar kawasan Jejambat Karamunsing di sini semalam.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu Timbalan Penguasa Bomba, Ordine Gilu berkata, dua mangsa masing-masing berumur 28 dan 39 tahun di hantar Ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke Hospital Queen 1 untuk menerima rawatan lanjut.
Katanya, dalam kejadian kemalangan tersebut dua motosikal dipandu mangsa jenis Modenas MR1 serta Yamaha FZ150 mengalami kemalangan disebabkan terdapat tumpahan minyak di atas jalan raya berkenaan.
“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 7.32 malam tadi bersama kekuatan seramai lapan anggota diketuai Komander Operasi Nirwan Ilyas melakukan pembersihan tumpahan minyak di atas jalan raya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Ordine berkata,selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di kawasan kemalangan operasi kemudiannya ditamatkan pada jam 7.47 malam tadi.
