Dua penunggang maut, seorang cedera parah akibat bertembung semasa lari dari operasi

SANDAKAN : Dua penunggang motorsikal maut manakala seorang lagi cedera parah selepas bertembung ketika cuba melarikan diri dari operasi polis yang dijalankan di Batu 16, Jalan Kuari 3, Gum-Gum di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Abdul Fuad Abdul Malek berkata, dalam kejadian lebih kurang pukul 5.30 petang itu, dua mangsa yang maut masing-masing berusia 22 tahun, manakala penunggang yang cedera parah berumur 24 tahun.

Katanya, kesemua mangsa dikatakan cuba melarikan diri dari Operasi Samseng Jalanan yang dilaksanakan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Sandakan bermula 19 hingga 20 Mei.

Katanya, kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan.

Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak 105 buah kenderaan terdiri daripada 30 motokar dan 75 motorsikal yang melibatkan 127 individu telah diperiksa sepanjang operasi itu.

Katanya, hasil daripada operasi yang dijalankan, sebanyak 31 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk mengubahsuai eksoz, tiada lesen memandu, tiada perlindungan insuran dan sebagainya.

“Dalam operasi ini, sebanyak 60 motosikal dan 16 kereta telah ditahan dan disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk semakan dan siasatan lanjut.

“Selain itu, lima daripada 35 pemandu dan penunggang motorsikal yang ditahan dalam operasi ini didapati positif dadah jenis ketamin dan ganja. Mereka akan disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya..

Abdul Fuad berkata, operasi Samseng Jalanan itu akan diteruskan bagi memastikan aktviti lumba haram dan menguji kelajuan di atas jalan raya dapat dibanteras dengan menguatkuasakan undang-undang demi kesejahteraan orang awam.