SANDAKAN: Dua mangsa lemas di sebuah kolam terbiar di Kampung Bambu Batu 7 dekat sini meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan, semalam.
Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Polis Abdul Fuad Abdul Malek berkata mangsa dikenali sebagai Amira binti Rolan (19 tahun) dan Muhamad bin Awira (10 tahun).
Katanya kedua-kedua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital pada jam 12.40 tengahari.
Beliau berkata pihak polis telah menerima aduan melalui MERS 999 pada jam 11.18 pagi menyatakan bahawa dua orang telah lemas di Kampung Batu Putih Jalan Sungai Kayu.
Abdul Fuad berkata hasil siasatan awal polis, mendapati pada masa kejadian kira-kira jam 10 pagi, kedua dua mangsa bersama empat lagi ahli keluarga mereka mandi di kolam terbiar tersebut.
Sewaktu mandi di kolam tersebut, dua orang telah lemas dan berjaya diselamatkan oleh orang kampung yang datang memberi bantuan lalu dibawa ke HDOK dengan Ambulans, katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata kes disiasat dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.