KOTA KINABALU : Kegiatan dua lelaki cuba menyeleweng diesel bersubsidi dengan mengumpul bahan api itu dari stesen-stesen minyak terbongkar dalam operasi ‘Ops Tiris’ di sekitar Jalan Penampang di semalam.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah, Georgie Abas berkata, dua lelaki tempatan berusia 40 dan 29 tahun sebagai pemandu pacuan empat roda manakala lori ditahan ketika membeli diesel di sebuah stesen minyak dalam operasi jam 9.10 malam.
Katanya, kegiatan penyelewengan itu berjaya ditumpaskan pasukan pegawai penguat kuasa dari Ibu Pejabat KPDN Sabah menjalankan pemeriksaan terhadap dua kenderaan tersebut.
“Pemeriksaan mendapati pacuan empat roda jenis Isuzu Trooper mengandungi tangki tambahan pada bahagian belakang disyaki berisi minyak diesel yang dianggarkan sebanyak 900 liter.
“Sebuah lagi lori terdapat tangki jenis fiber di bahagian belakang berisi 600 liter diesel ketika cuba membuat pembelian di sebuah stesen minyak di sekitar Jalan Penampang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Georgie berkata, berdasarkan keterangan awal, kedua-dua suspek ditahan gagal menunjukkan sebarang dokumen atau kebenaran daripada KPDN.
“Ini bertujuan membeli serta membawa diesel yang disimpan di dalam tangki tambahan selain tangki minyak kenderaan.
“Kesemua barangan yang ditemui dirampas termasuk 1,500 liter diesel yang dibawa kedua-dua suspek tersebut,” jelas Georgie.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati, modus operandi suspek bagi kegiatan ini adalah dengan mengumpul diesel bersubsidi dari stesen-stesen minyak yang beroperasi sebelah malam.
“Kemudian mereka disyaki menjual kepada pihak yang tidak layak menggunakan minyak diesel bersubsidi dengan harga yang lebih tinggi.
“Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan iaitu minyak diesel dengan melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122),” kata Georgie.
Beliau menegaskan, KPDN Sabah akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan ke atas semua kegiatan berkaitan barang kawalan di negeri ini.
