KOTA KINABALU: Festival Soul to Soul perlu diperluaskan ke daerah lain agar lebih ramai rakyat dapat menyertainya.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, program ini disusun dengan pelbagai aktiviti, modul dan pengisian yang berbentuk kerohanian serta ilmu yang bermanfaat kepada seisi keluarga.
Katanya, berlandaskan mencintai Allah dan Rasul melalui aktiviti yang dijalankan serta meletakkan al-Quran dan as-Sunnah sebagai panduan utama, amat penting dalam keadaan dunia yang semakin memcabar ini.
“Jika kita lihat pada masa ini, terlalu banyak program yang berbentuk hiburan sematamata disajikan kepada masyarakat yang boleh menyebabkan kelalaian.
“Justeru, penganjuran program berbentuk kerohanian dan keagamaan seperti Festival Soul to Soul ini, sangat dialu-alukan, dan jika boleh diperluaskan ke daerah lain,” katanya.
Beliau berkata demikia ketika merasmikan Pembukaan Festival Soul To Soul 2.0 di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini semalam.
Hajiji berkata, forum berkaitan kepentingan institusi kekeluargaan turut diadakan sempena festival sudah pasti memberi manfaat besar terutama dalam keadaan hari ini.
“Kita semua percaya kejayaan sesuatu kaum atau sesebuah masyarakat, bermula daripada sebuah keluarga. Jika sesebuah keluarga itu baik, berdisiplin, bertataetika terbentuklah juga ahli masyarakat yang baik, berdisiplin, bermoral dan bertataetika.
“Sebab itu, dalam dunia yang semakin mencabar pada hari ini, kekuatan institusi keluarga adalah komponen penting dalam proses pembentukan masyarakat dan seterusnya negeri dan negara,” jelas Hajiji.
Menurutnya, tanpa institusi keluarga yang kukuh, masyarakatnya akan turut rapuh dan akhirnya rakyat dalam negara tidak akan sempurna.
“Islam memandang keluarga sebagai sebuah institusi pembentuk masyarakat yang bakal dibina, yang mana rakyatnya kukuh dalam nilai agama dan mempunyai tahap etika yang tinggi,” kata Hajiji.
