𝗧𝗔𝗪𝗔𝗨 : Dua bot tempatan ditahan dalam’Op Pluto Timur dan dan Op Sejatera selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan dalam dua tangkapan berasingan di sini semalam.
Pengarah Zon Maritim Tawau Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot peronda Maritim Malaysia mengesan serta memeriksa sebuah bot nelayan tempatan menjalankan aktiviti menangkap ikan di sekitar Perairan Merotai pada pukul 11.30 pagi.
Katanya, pemeriksaan terhadap bot terbabit mendapati tiga lelaki pemegang pasport warga Indonesia berumur 20 hingga 42 tahun mengendalikan bot tersebut.
“Pemeriksaan selanjutnya terhadap bot terbabit didapati melakukan kesalahan menjalankan aktiviti menarik pukat kurang dari jarak 2 batu nautika daripada daratan.
“Pada jam 12.15 tengahari, sebuah lagi bot penumpang tempatan juga ditahan manakala diperiksa bot peronda Maritim Malaysia ketika menjalankan operasi sama di lokasi 2.5 batu nautika selatan Batu Tiga Tawau,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Shahrizan berkata, pemeriksaan lanjut kepada bot penumpang membawa muatan 250 kilogram bawang Bombay manakala seorang juragan lelaki warga tempatan berumur 27 tahun gagal mengisytihar muatan dibawa sekali gus melanggar syarat sah lesen bot penumpang.
“Kedua-dua bot bersama muatan serta krew ditahan dan kemudiannya dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk disiasat di bawah Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002, Akta Perikanan 1965 dan Akta Kastam 1967.
“Kesemua barangan termasuk kedua-dua bot dan muatan disita sehingga proses siasatan selesai manakala nilai rampasan keseluruhan lebih RM120,000,” jelas Shahrizan.
Menurutnya, beliau menasihatkan kepada komuniti maritim setempat untuk mematuhi segala undang-undang yang telah ditetapkan pihak berkuasa.
“Pihaknya tidak akan berkompromi jika didapati gagal mematuhi syarat sah lesen dikeluarkan. Maritim Malaysia memperkasakan tugas penguatkuasaan dan mengoptimumkan pengoperasian bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Timur Sabah (ESSZONE),” katanya.
