KOTA KINABALU: Cadangan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) mengadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah membahas usul pindahan Perlembagaan Persekutuan berkaitan Perkara 1(2) dan Perkara 160(2) merupakan peluang terancang yang sewajarnya mendapat perhatian kerajaan negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, jika langkah itu dipersetujui, sidang khas itu juga merupakan medan sesuai membahaskan serentak perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963.
Katanya, sidang khas itu wajar berikutan kedua-dua isu berbangkit itu menjadi persoalan rakyat Sabah ekoran desakan demi desakan dibuat oleh pemimpin negeri ini menggunakan budi bicara ternyata tidak membuahkan sebarang hasil.
“Justeru kenapa kita tidak menggunakan platform DUN untuk mengambil ketetapan mendesak tuntutan Sabah ke atas Persekutuan, ” katanya.
Menurutnya, cadangan pindahan Perkara 1(2) bukanlah sesuatu yang baharu. Pindahan tersebut sudah dibantangkan di Parlimen pada tahun 2019.
Tapi malangnya tidak mendapat sokongan dua pertiga Ahli-ahli Parlimen termasuk Ahli Parlimen dari Sabah sendiri.
Masiung yang juga pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) berkata dalam satu kenyataan hati ini.
Mengulas lanjut mengenai isu itu, beliau berkata sidang khas DUN ini boleh membahaskan antara lainnya akta-akta Persekutuan yang dibuat sepanjang Proklamasi Darurat 1969 yang berkuatkuasa seperti Akta Kemajuan Petroleum 1974 yang menyebabkan hasil sumber terbesar Sabah diambil oleh Kerajaan Persekutuan menerusi Petronas.
“Keabsahan Akta Kemajuan Petroleum dan akta lain yang berkaitan kepentingan penduduk negeri ini sepatutnya mendapat sokongan Ahli-ahli DUN untuk dibahaskan semula,
“Isu terbaik yang boleh dirungkai ialah menyuarakan desakan supaya Putrajaya memberikan semula hasil di bawah Perkara 112 C & D bagi memungut semula 40 peratus hasil daripada bumi Sabah,” katanya.
Masiung berkata, Perjanjian Malaysia 1963 sepatutnya dikaji semula setiap sepuluh tahun, tetapi tidak dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dan rakyat Sabah berhak tahu tentang perkara sebenar.