TAWAU: Tuduhan Datuk Seri Bung Moktar Radin bahawa Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai “paling gagal di dunia” disifatkan sebagai kenyataan yang memakan diri sendiri.
Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata dakwaan itu tidak berasas kerana hakikatnya Sabah kehilangan dua tahun awal pentadbiran (2021–2022) ketika Bung menerajui Kementerian Kerja Raya (KKR) Sabah.
Dua tahun tanpa projek utama air
Menurut Armizan, sepanjang tempoh Bung mengetuai KKR, isu air dan elektrik terus membebankan rakyat, namun tiada projek penstabilan besar dilaksanakan.
“Selama dua tahun beliau di KKR, tiada satu pun projek utama bekalan air yang digerakkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, Projek Loji Rawatan Air (LRA) Cinta Mata 2 di Tawau hanya bermula pada 22 Julai 2025, selepas Bung tidak lagi memegang portfolio tersebut. Projek itu dijangka siap pada 22 Julai 2028.
Di Papar pula, Projek Naik Taraf LRA Kogopon, yang sudah lama dirancang, hanya dimulakan pada Ogos 2023 selepas Datuk Shahelmey Yahya mengambil alih sebagai Menteri Kerja Raya Sabah.
Projek sudah dirancang, hanya menunggu pelaksanaan
Armizan berkata, projek-projek berkenaan sebenarnya telah berada dalam perancangan, justeru tidak wajar Bung menuding jari kepada pihak lain apabila penggantinya berjaya menggerakkannya.
Kerajaan GRS turut merancang pembangunan LRA Balung II yang dijadual bermula pada 2026.
Isu elektrik masih bawah kuasa Persekutuan
Dalam isu elektrik, Armizan menjelaskan bahawa kuasa kawal selia elektrik hanya dikembalikan kepada Sabah pada 3 Januari 2024, selepas 41 tahun berada di bawah Kerajaan Persekutuan.
Beliau menegaskan, adalah tidak wajar kelemahan bekalan elektrik pada tempoh itu dibebankan sepenuhnya kepada Kerajaan GRS kerana Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) masih dikuasai Kerajaan Pusat melalui TNB.
Armizan turut mendakwa Bung mencadangkan dua Ketua Bahagian UMNO dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah SESB melalui Menteri Tenaga ketika itu.
“Apa peranan dan pencapaian mereka dalam membantu menyelesaikan isu elektrik? Jelas mereka juga tidak menunjukkan hasil,” katanya.
Projek stabilisasi elektrik mula bergerak selepas 2024
Armizan berkata, selepas kuasa kawal selia elektrik dikembalikan kepada Sabah dan UMNO tidak lagi berada dalam Kerajaan Sabah, beberapa projek penstabilan bekalan elektrik mula dilaksanakan.
Antaranya ialah Projek Rangkaian Grid Pantai Timur Southern Link Fasa 1 yang bermula pada 2024.
“Selepas perubahan pentadbiran berlaku, barulah banyak projek penstabilan air dan elektrik dapat dimulakan,” katanya.
